Sunday, January 9, 2011

Sebuah Hasil Sastera yang Maha Agong

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillahirabbil alamin, wassalatu wassalamu ala asyrafil anbia iwalmursalin, waala alihi wasahbihi ajmain. Bersyukur saya kepada Allah kerana dengan kehendaknya saya diberi kesempatan untuk menulis sebuah rencana khas yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya bahkan tidak kurang yang tahu tetapi tidak mempedulikannya. Selawat dan salam juga dipanjatkan kepada Nabi Muhammad SAW yang mana dengan usahanya bersama sahabat sahabat baginda akhirnya saya berupaya mengecapi nikmat islam sebagaimana diperolehi hari ini. Alhamdulillah.

Sidang pembaca,

Sebenarnya bidang sastera ini suatu bidang yang amat mulia. Suatu ketika dahulu bahan bacaan ataupun karya-karya sastera lama di serata dunia menjadi panduan bagi kebanyakan umat manusia bagi segenap bidang seperti ekonomi, politik, ketenteraan, undang-undang bahkan juga agama. Dalam alam Melayu sendiri khasnya, peranan sastera seperti di atas jelas sekali dapat dilihat. Dalam bidang ekonomi kita dapat melihatnya digambarkan dalam pantun-pantun lama seperti berikut;

Tuai Padi Antara Masak,
Esok Jangan Layu-layuan,.....

Disini dapat dilihat bagaimana kegiatan ekonomi orang Melayu digambarkan iaitu kegiatan bertani (bersawah padi) diserapkan dalam pantun.

Begitu juga dalam bidang politik, penguasaan raja-raja dahulu kala digambarkan dalam sebuah teks khas sebagai panduan pemerintah akan datang seperti Sulatus Salatin (Sejarah Raja-raja Melayu) dan Tajul Salatin (Taman Segala Raja-raja). Dalam sub bidsng ketenteraan pula juga terdapat hikayat-hikayat khusus yang digunakan oleh orang dahulu kala untuk menaikkan semangat askar-askar seperti Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Ali Hanafiah, Hikayat Hang Tuah dan Banyak lagi.

Ingin dijelaskan disini bahawa, sastera itu wujud bukan hanya sekadar untuk bacaan semata-mata tetapi menjadi satu wadah yang banyak membangunkan masyarakat suatu ketika dahulu. Hal ini berkesinambungan sehingga melahirkan masyarakat berintelektual dari zaman ke zaman sehingga zaman mutakhir hari ini. Hal ini jelas menyangkal pendapat sesetengah pihak yang menyangkal pendapat bahawasanya sastera itu tidak membangunkan masyarakat.

Sidang pembaca,

Hal ini tidak terkurung di bawah ruang lingkup alam Melayu semata-mata tetapi merentasi segenap pelusuk dunia iaitu seluruh penjuru timur dan barat. Di barat misalnya, kita dapat melihat hasil pelbagai hasil karya Aristotle di Rom, Itali telah dirujuk dan dianalisis dan sekarang menjadi pedoman seluruh masyarakat. Misalnya karya beliau mengenai perang polopenisia bertajuk Exhortation to Philosophy telah diangkat menjadi hasil kajian sejarah sebagai antara yang terawal. Begitu juga karya beliau beserta anak muridnya Plato yang lainnya juga telah mengubah struktur politik yang kini telah menjadi panduan seluruh dunia : Demokrasi. Di Timur, karangan Confucius yang membawa kepada ajaran Confucionisme telah mengubah kehidupan masyarakat sekitar tanah besar China termasuk di Korea, Jepun dan lainnya yang membawa kepada satu pegangan yang harus diikuti sehingga ke hari ini. Sebenarnya, sastera ini merupakan satu bidang yang tidak boleh dinafikan peranannya dan hakikatnya, terdapat banyak lagi contoh bahawasanya sastera ini telah membangunkan umat manusia sejagat sejak dahulu dan satu yang relevan sehingga ke hari ini.

Bagaimana pula dalam agama, apakah peranan sastera?. Nah, di sinilah yang akan menjadi pokok rencana saya kali ini. Sebagai seorang islam, apakah kita sedar bahawasanya kita dianugerahkan sebuah hasil sastera yang maha Agong oleh yang Maha Bijaksana. Ironinya lagi, dalam kalam Yang Maha Kuasa ini turut memfokuskan sub sub bidang yang dinyatakan sebelum ini iaitu ekonomi, politik, ketenteraan bahkan jua melangkaui bidang bidang ilmiah masa kini iaitu sains dan teknologi. Ya benar tuan-tuan itulah dia Al-Quran Al-Karim. Kalamullah yang tiada tandingan. Sebaik mana pun pujangga ataupun sasterawan di dunia ini tiada dapat melawan isi yang digarapkan olehNya. Bahkan saudara pembaca, banyak hasil karya yang dikarang manusia di petik daripada isi-isi al-Quran.